SILA IKUTI MEDIA SOSIAL RASMI JAKIM/ FACEBOOK JAKIM/ INSTAGRAM/ YOUTUBE/ TELEGRAM/ TIKTOK-MyJAKIM

Sejarah Pertandingan MTHQK

Majlis Membaca al-Quran mula diperkenalkan oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) pada tahun 1947. Ianya diadakan buat pertama kalinya pada pada 4 September 1947 di Masjid Jami’ Abu Bakar Johor Bahru, Johor.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Encik Ahmad bin Yaakob, Ketua Majlis Pertandingan Membaca al-Quran se-Malaya pada ketika itu. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dalam satu majlis jamuan teh yang dianjurkan oleh PEKEMBAR di Istana Besar Johor pada 5 September 1947.

Dalam majlis yang pertama kali diadakan itu hanya para qari sahaja yang mengambil bahagian. Johan telah dikongsi bersama oleh tiga orang peserta yang mendapat markah yang sama iaitu 84.5%. Mereka yang mendapat johan ialah Ustaz Abdul Rahman dari Pulau Pinang, Tuan Haji Mahyuddin dari Perak dan Encik Hassan bin Azhari dari Selangor. Naib johan dimenangi oleh Encik Ahmad bin Soleh dari Perlis dan tempat ketiga dimenangi oleh Lebai Ismail bin Haji Abdul Wahab dari Negeri Sembilan.

Majlis Tilawah al-Quran juga telah menjadi satu tradisi di negeri Kedah Darul Aman sejak tahun 1951 yang mana ianya telah diusahakan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra. Apabila YTM Tunku menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, beliau meneruskan usaha awalnya dengan menganjurkan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali pertama dengan 2 penyertaan semua negeri di Persekutuan Tanah Melayu pada 18 Mac 1960 bersamaan 20 Ramadan 1379H.

Tugas menyelenggara Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ini telah diserahkan kepada sebuah Jawatankuasa Pusat yang dikenali pada masa itu sebagai Jawatankuasa Pengelola. Jawatankuasa ini terdiri daripada 15 orang ahli dan dipengerusikan oleh YB Tuan Syed Jaafar Albar (Allahyarham), Menteri Muda Penerangan dan Penyiaran pada masa itu. Manakala Encik (Kini Datuk) Ahmad Nordin bin Haji Mohamad Zain, seorang pegawai kanan Jabatan Penerangan waktu itu (kemudian beliau menjadi Ketua Pengarah Penerangan) sebagai Setiausaha yang pertama. Mesyuarat pertama Jawatankuasa Pengelola ini telah diadakan pada 9 Januari 1960 di Kuala Lumpur.

Selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat yang pertama, telah diadakan mesyuarat bersama dengan wakil-wakil kerajaan negeri. Dalam mesyuarat tersebut YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah menyuarakan bahawa adalah menjadi cita-cita Kerajaan Persekutuan untuk melihat Majlis Tilawah al-Quran ini diadakan pada tiap-tiap tahun, bukan sahaja kerana memuliakan bulan Ramadan tetapi juga kerana selaras dengan kedudukan dan taraf Islam sebagai agama persekutuan. Kini hasrat tersebut menjadi kenyataan dan usaha tersebut diteruskan oleh pemimpin negara selepas YTM Tunku hingga ke hari ini.

Dalam mesyuarat pertama bersama wakil-wakil kerajaan negeri ini, wakil kerajaan negeri Kedah, Yang Mulia Tengku Seri Maharaja Lela, saudara sepupu kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah menawarkan dua naskah mashaf al-Quran tulisan tangan kepunyaan beliau dan Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin, moyang mereka untuk 3 dijadikan hadiah kepada Johan Kebangsaan. Ia digunakan sebagai piala pusingan sehingga tahun 2000.

Mushaf yang berusia lebih 100 tahun itu dijilid dengan kulit berwarna emas bersimpuhkan perak dengan hiasan Jata Persekutuan bertatahkan emas. Rehalnya diukir khas dari kayu jenis yang terbaik. Setiap tahun mashaf tersebut dijadikan hadiah pusingan bagi Majlis Tilawah al-Quran. Ia disampaikan kepada qari dan qariah oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di- Pertuan Agong.

Pada peringkat awal, setiap negeri dibenarkan menghantar 3 orang peserta (2 orang qari dan seorang qariah) menyertai Majlis Tilawah al[1]Quran Peringkat Kebangsaan. Dengan wujudnya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, maka bilangan peserta di dalam Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dikurangkan. Hanya Johan qari dan qariah peringkat negeri sahaja dibolehkan mengambil bahagian.

Pada mulanya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa diadakan secara serentak di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan diadakan dalam bulan Ramadan setiap tahun.

Mulai tahun 1981, Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa diadakan secara berasingan. Pada tahun yang sama Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan diadakan di luar Kuala Lumpur. Negeri pertama yang menjadi tuan rumah ialah Negeri Sembilan. Manakala Peringkat Antarabangsa masih diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Mulai tahun itu juga Majlis Tilawah diadakan di luar bulan Ramadan. Sehingga sekarang Majlis Tilawah al-Quran diadakan secara bergilir-gilir antara negeri-negeri di Malaysia.4

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa mula diadakan pada 9 Mac 1961/22 Ramadan 1380. Hasrat dan cita-cita untuk mengadakan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ini telah diluahkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj semasa majlis penutup Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan kali pertama pada 18 Mac 1960.

Dalam Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama itu, YAB Tun Abdul Razak telah menyebut bahawa Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu akan terus menggalakkan rakyatnya membaca al-Quran. Kursus-kursus mempelajari dan menghafaz al-Quran juga diadakan. Masjid Negara yang sedang dibina ketika itu akan dijadikan pusat untuk tujuan tersebut.

Program Tahfiz al-Quran bermula apabila wujudnya Kelas Pengajian Menghafaz al-Quran dan Ilmu Qiraat di Masjid di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 1 Mac 1966. Aktiviti ini lahir atas ilham dan kehendak Perdana Menteri Malaysia yang pertama YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Cadangan ini disuarakan oleh YTM Tunku semasa Majlis Perasmian Masjid Negara pada 27 Ogos 1965 yang mahukan sebuah Institut Pengajian al-Quran diwujudkan. Idea ini timbul sebagai kesinambungan program Musabaqah al-Quran yang diadakan semenjak tahun 1960 serta cadangan daripada Rektor Universiti al-Azhar, Sheikh Mahmud Syaltut.

Pada tahun 1979, Kerajaan Malaysia menganjurkan Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat kebangsaan buat pertama kalinya yang diurussetiakan oleh JAKIM. Pelaksanaannya dikelolakan oleh Jawatankuasa Induk Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan. Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman umat Islam 5 mengenai kaedah menghafaz al-Quran dengan baik dan mendalami serta menghayati pengajaran yang terkandung di dalam al-Quran. Majlis ini juga bermatlamat untuk mencungkil kecenderungan generasi muda supaya cintakan al-Quran. Sehingga tahun 2016 ia diadakan secara berasingan dari Majlis Tilawah al-Quran Peringkat kebangsaan.

Tahun 2017 menyaksikan sejarah dicipta buat julung kalinya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan secara serentak dan dikenali sebagai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK). Negeri Melaka amat bertuah kerana terpilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran julung kali Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) bagi tahun 1438H/2017M dengan menjadikan Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka sebagai tempat penganjuran yang berprestij tinggi.

Penganjuran MTHQK 1438H / 2017M merupakan Kerjasama Strategi Lautan Biru (NBOS) di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kerajaan Negeri Melaka dan beberapa jabatan/agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri. Jaringan kerjasama ini membuktikan komitmen Kerajaan dalam menerapkan budaya minat membaca al-Quran dan memahami intipatinya, seterusnya menjadi rujukan dalam segenap kehidupan.